KUALA LUMPUR:Baru sahaja mengarah filem pertama, Youtuber terkenal tanah air, Syahmi Sazli telah berjaya membawa pulangan yang luar biasa melalui filem Mael Totey The Movie (MTM).

Dalam masa 24 hari sahaja, filem yang ditanyangkan di Astro First itu sudah berjaya mendapat kutipan sebanyak RM6.4 juta.

Malah filem itu juga berjaya menandingi filem pecah panggung di Astro First seperti Polis Evo dan Hantu Kak Limah (HKL).

Bagi pengarah muda asal Kelantan ini, dia sangat terkejut dengan sambutan yang diperolehnya melalui filem MTTM ini.

"Untuk filem pertama ini, saya memang tak sangka boleh dapat kutipan dan sambutan macam ni sebabnya dapat masuk Astro pun dah kira satu pencapaian yang besar untuk saya.

"Saya sangat bersyukur sebab untuk filem pertama ni saya memang tak jangka untuk mendapat kutipan dan sambutan sebegitu," katanya kepada Astro AWANI.

Syahmi juga berkongsi bahawa terhasilnya filem MTTM ini kerana dorongan daripada peminatnya.


Ketika ditanya jika diberi peluang untuk Syahmi bergabung dengan pengarah lain untuk filem-filem seterusnya, Syahmi mengatakan bahawa perkara itu mungkin tidak akan dilakukannya.

"Kalau berlakon bawah pengarah lain itu, saya akan terima sebab saya nak timba ilmu tapi untuk mengarah bersama saya rasa tidak sebab bila dua pengarah ini masing-masing akan ada pendapat sendiri dan saya sejenis yang susah nak suarakan pendapat kalau macam tu," tambahnya.